TUARAN: Seorang wanita warga emas parah akibat tersepit di dalam kereta yang dihempap pokok tumbang berhampiran Legasi Laya-Laya, di sini, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Penolong Penguasa Bomba, Mohammad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5 petang.
Katanya, sepasukan bomba diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Masalang Sintakan, tiba di lokasi bersama empat anggota untuk operasi menyelamat.
“Sebaik tiba di lokasi, sebatang pokok tumbang dan menghempap sebuah kereta jenis Perodua Bezza.
“Terdapat seorang mangsa wanita berusia 62 tahun tersepit dalam kereta berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Tuaran untuk rawatan lanjut.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan pada jam 5.50 petang,” katanya. – Info X