KOTA KINABALU: Ribuan pengguna di 12 kawasan sekitar negeri ini dan Labuan dijangka mengalami catuan bekalan elektrik berikutan kadar penjanaan tenaga yang rendah berbanding permintaan, hari ini.
Lokasi terbabit ialah daerah Kudat, Pitas, Kota Marudu, Kota Kinabalu, Papar, Keningau, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Tawau dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Berdasarkan maklumat catuan bekalan elektrik yang dipaparkan di laman Faebook Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Careline, catuan dijadual dilaksanakan secara bergilir di daerah terbabit bermula jam 2 petang hingga 4 petang dan jam 6 petang hingga 8 malam nanti.

Langkah itu, katanya bagi menstabilkan tenaga elektrik yang disalurkan dalam sistem Grid Sabah berikutan kadar permintaan tenaga yang tinggi, diramal mencecah 1,118 megawatt (mw) pada waktu puncak, jam 3 petang nanti.
Jumlah permintaan itu melebihi kadar janaan tenaga elektrik yang mampu dibekalkan 14 loji janakuasa penyedia tenaga bebas (IPP) dan lima daripada enam janakuasa milik SESB pada hari ini, iaitu hanya 1,073 mw.
Situasi itu menunjukkan tiada margin simpanan tenaga elektrik di Sabah dan Labuan pada hari ini, sekali gus memaksa SESB melaksanakan catuan bekalan bagi menstabilkan permintaan dalam sistem Grid Sabah. – Info X