Search

Victor cadang subsidi tiket penerbangan ‘one-off’ dipanjangkan kepada rakyat Sabah bekerja di Semenanjung

March 27, 2024

Info X Reporters

TAMBUNAN: Ketua Parti Gegasan Rakyat Sabah (Gegasan Rakyat) Bahagian Tambunan, Datuk Victor P Paut menyambut baik keperihatinan kerajaan Negeri atas pemberian subisidi tiket penerbangan ‘one-off’ sebanyak RM600 kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) Sabah yang sedang melanjutkan pengajian di Semenanjung, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan.

Sambil menzahirkan penghargaan kepada keputusan yang dibuat Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Victor berkata, ia amat bertepatan dengan keperluan golongan mahasiswa daripada negeri ini dan Labuan yang majoritinya datang dari keluarga kurang berkemampuan.

“Di Tambunan sendiri terkesan dengan keluhan para pelajar IPT yang tidak mampu pulang ke kampung halaman terutama sekali sewaktu musim perayaan.

“Pengumuman yang dibuat Ketua Menteri merupakan berita baik kepada anak-anak Sabah yang rata-rata memerlukan bantuan seumpama ini. Pada masa yang sama amat dialu-alukan oleh para ibu bapa yang sudah pasti dapat membantu meringankan bebanan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Victor mencadangkan agar bantuan yang sama dapat dipanjangkan kepada rakyat sabah, khususnya golongan B40 yang berkerja di semenanjung untuk balik ke Sabah pada musim perayaan ini.

“Saya memahami keperitan ini kerana ramai sanak saudara kita yang terpaksa bekerja di semenanjung untuk kelangsungan hidup.

“Golongan inilah yang amat terkesan dan majoriti yang memerlukan bantuan seperti subisidi tiket penerbangan ‘one-off,” kata Victor.

Hajiji sewaktu majlis berbuka puasa bersama lebih 1,000 orang pelajar IPT Sabah di Pulau Pinang mengumumkan bantuan subsidi tiket penerbangan secara ‘one-off’ bagi pelajar yang sedang melanjutkan pelajaran di Semenanjung, Sarawak, dan W.P Labuan dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM10 juta. – Info