KINABATANGAN: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) mencadangkan kepada kerajaan untuk menukar peta Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) kepada warna putih berbanding merah ketika ini dan menamakannya kawasan kesejahteraan.
Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, cadangan ini sekali gus mengangkat semula imej ESSZONE sebagai kawasan selamat dan sejahtera ke peringkat antarabangsa.
“ESSCOM mengangkat cadangan kepada kerajaan untuk menukar peta ESSZONE yang kini menggunakan warna merah kepada warna putih dan menamakannya sebagai kawasan kesejahteraan bagi meningkatkan keyakinan bahawa kawasan pantai Timur Sabah adalah selamat untuk semua.
“Selain itu, di pihak ESSCOM juga kita berusaha memanggil duta-duta asing datang melawat ke kawasan pantai Timur Sabah dan merasai sendiri keindahan dan kesejahteraan di ESSZONE,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sesi Libat Urus ESSCOM bersama Komuniti ESSZONE Daerah Kinabatangan di Dewan Sri Lamag, di sini, hari ini.
Kira-kira 300 warga Kinabatangan hadir menjayakan sesi libat urus berkenaan.
Mengulas lanjut, Victor berkata, tujuan libat urus diadakan untuk meneliti penerimaan masyarakat dan kumpulan sasar dalam sektor perdagangan, perniagaan, perikanan, pelancongan serta pendidikan terhadap langkah penjenamaan semula Perintah Berkurung kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ESSZONE Sabah, menganalisis keberkesanan pelaksanaan arahan berkenaan.

“Selain itu, mengenal pasti ancaman sedia ada dan mengkaji hala tuju dari segi pengecilan kawasan PKP ESSZONE Sabah atau memansuhkan perintah berkenaan secara menyeluruh atau hybrid.
“Seterusnya, kajian ini akan turut meneliti mekanisme alternatif bagi menggantikan arahan berkenaan sekiranya diputuskan untuk dimansuhkan pelaksanaannya,” katanya.
Sehubungan itu, Victor mengajak warga Kinabatangan yang hadir ke sesi libat urus ini supaya menjawab soal selidik mengenai kajian PKP ESSZONE Sabah sebaik mungkin supaya kajian yang dijalankan mendapat hasil yang komprehensif demi manfaat bukan sahaja negeri Sabah tetapi Malaysia amnya.
Terdahulu, ketika menyampaikan ucapan aluan, Pegawai Daerah Kinabatangan, Willey Lampaki mengingatkan warga Kinabatangan bahawa tugas menjaga
keselamatan negara adalah tanggungjawab semua rakyat Malaysia dan bukan hanya
terletak di bahu pihak keselamatan semata-mata.
“Selain Kinabatangan, kajian PKP ESSZONE Sabah yang dilaksanakan oleh Kementerian Dalam Negeri, diselaraskan oleh ESSCOM dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah turut diadakan di lima lagi daerah terlibat PKP ESS Zone Sabah iaitu Semporna, Sandakan, Beluran, Kunak dan Lahad Datu.
Turut diadakan ketika libat urus penyampaian sumbangan kepada 50 golongan asnaf dari sekitar Kinabatangan sempena bulan Ramadan yang mulia ini. – Info X