KOTA KINABALU: Operasi pembenihan awan untuk menghasilkan hujan bagi mengurangkan situasi kemarau di Sabah dilancarkan hari ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor turut berkongsi pelaksanaan operasi itu dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Labuan.
“Pasukan Operasi Pembenihan Awan Sabah, berlepas dari Labuan. Semoga dipermudahkan segalanya,” katanya menerusi perkongsian di akaun Facebook beliau, hari ini.
Beliau turut berkongsi beberapa gambar yang menunjukkan anggota TUDM dan pegawai jabatan yang terbabit bersiap sedia memasukkan kelengkapan untuk pembenihan awan ke dalam pesawat pengangkut.
Semalam, Hajiji mengumumkan pelaksanaan operasi pembenihan awan untuk menghasilkan hujan menerusi kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) yang bermula hari ini hingga 30 Mac.

“Operasi pembenihan awan dilakukan berdasarkan ramalan keadaan awan di atmosfera yang sesuai untuk menghasilkan hujan jika pembenihan awan dilakukan.
“Kos operasi akan ditanggung sepenuhnya oleh NADMA manakala MET Malaysia bersetuju menyediakan sumber manusia dan bantuan teknikal,” katanya.
Katanya, TUDM Labuan akan menyediakan sokongan logistik dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Jabatan Ketua Menteri.
“Kita berharap operasi pembenihan awan ini akan berjalan lancar dan menghasilkan hujan di kawasan terjejas di Sabah,” katanya. – Info X