Search

PETRONAS sumbang 6,736 karton air minuman untuk penduduk terjejas kemarau

March 28, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: PETRONAS menyumbang sebanyak 6,736 karton air minuman untuk diagihkan kepada penduduk terjejas kemarau menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, di sini, semalam.

Sumbangan itu diserahkan Pengurus Besar Pejabat Wilayah PETRONAS Sabah dan Labuan, Siti Ayu Abdul Wahab, kepada Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri, Datuk Awang Shahminan Awang Sahari, selaku Setiausaha JPBN Sabah.

“Kami berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka yang terjejas akibat kemarau yang berpanjangan dan menyokong usaha yang sedang dijalankan agensi kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Katanya, inisiatif itu menunjukkan usaha berterusan PETRONAS dalam melaksanakan aktiviti impak sosial dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat di negeri ini.

Pengedaran air minuman itu kepada penduduk terjejas kemarau di semua daerah yang terbabit akan diselaraskan JPBN.

Semalam, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata seramai 58,080 ketua isi rumah (KIR) dari 355 kampung di 12 daerah berdepan kekurangan bekalan air disebabkan kemarau yang berlarutan sejak Februari lalu.

Daerah terbabit ialah Tongod, Tuaran, Papar, Keningau, Semporna, Kota Belud, Tenom, Pitas, Kota Kinabalu, Penampang, Kudat dan Tawau.

Hajiji turut mengarahkan penghantaran air kepada semua penduduk yang terjejas dengan sebanyak RM7.5 juta diperuntukkan bagi menampung kos penghantaran bekalan air kepada penduduk dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). – Info X