PAPAR: Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Papar mengambil inisiatif memasang sistem penapisan air sementara untuk merawat air Sungai Papar bagi kegunaan penduduk daerah ini yang berdepan masalah bekalan air bersih.
Sistem dikenali sebagai Water Sanitation and Hygine (WASH) itu dipasang di Kampung Mandalipau, di sini dengan keupayaan merawat dan menghasilkan 1,000 liter air bersih sejam atau kira-kira 8,000 liter air bersih sehari untuk diagihkan kepada penduduk kampung.
Ketua Pasukan WASH, Azryan Ismail, berkata inisiatif BSMM itu bagi membantu usaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah membekalkan air bersih kepada penduduk kampung yang terjejas akibat kemarau di daerah ini.
Beliau berkata, air yang ditapis melalui sistem WASH itu dijamin bersih dan selamat digunakan serta menepati piawaian ditetapkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) selepas meneliti sampel air dihasilkan menerusi kaedah berkenaan.

“Penduduk kampung boleh datang ke tapak WASH ini untuk mengambil air bersih. Kita menyediakan beberapa tangki pengumpulan, masing-masing berkapasiti 1,000 liter, 1,500 liter dan 5,000 liter untuk menampung permintaan penduduk.
“Tapak WASH ini dijadual beroperasi selama dua minggu iaitu hingga 4 April depan dengan seramai tujuh orang sukarelawan ditugaskan secara bergilir di sini, tapi mungkin diteruskan lagi jika masalah air di Papar belum selesai,” katanya, di sini.

Daerah ini diisytiharkan sebagai kawasan bencana kemarau sejak 13 Mac lalu berikutan masalah air yang kritikal disebabkan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) Limbahau dan penurunan kapasiti LRA Jetama akibat tahap kemasinan air yang tinggi kerana tiada hujan sejak lebih sebulan lalu.
Situasi itu menyebabkan 15 juta liter sehari (MLD) air bersih tidak dapat dibekalkan menerusi sistem paip kepada kira-kira 150,000 penduduk daerah ini, sekali gus memaksa Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah mengaktifkan penghantaran air menggunakan lori.
Penghantaran air bersih dilakukan setiap hari mengikut lokaliti membabitkan 11 lori yang disewa Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah, 15 lori agensi kerajaan dan enam lori sukarelawan.
Operasi itu dikendalikan seramai 200 petugas daripada 27 agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) yang bekerjasama menghantar bekalan air bersih ke semua kawasan yang terjejas akibat kemarau. – Info X
EndsPix 1 – Ketua Pasukan WASH Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Papar, Azryan Ismail. Pix ihsan Jabatan PeneranganPix – Sistem Water Sanitation and Hygine (WASH) inisiatif BSMM Papar membantu penduduk terjejas kemarau mendapatkan bekalan air bersih. Pix ihsan Jabatan Penerangan