Search

Ops padam kebakaran di Kayu Madang masuk hari kelima

March 28, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Operasi memadam kebakaran di tapak pelupusan sampah Kayu Madang, di sini yang dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memasuki hari kelima hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, operasi pemadaman masih menggunakan peralatan jentera khas berikutan lokasi kebakaran adalah berskala besar.

“Pihak bomba menjalankan pemadaman menggunakan Fix Monitor Fire Fighting bersama jentera High Performance Pump Module (HPPM) dengan mengambil sumber air terbuka dan pemadaman menggunakan sebanyak 14 Tong Foam.

“Operasi dilaksana 59 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Kota Kinabalu, Lintas, Penampang dan Ibu Pejabat JBPM Sabah,” katanya.

Pasukan bomba masih memadam kebakaran di tapak pelupusan sampah Kayu Madang, Telipok. – Foto/Bomba

Terdahulu, operasi yang dijalankan sejak Selasa menggunakan peralatan Fix Monitor Fire Fighting bersama jentera HPPM dengan mengambil sumber air terbuka dan pemadaman menggunakan foam.

Operasi kebakaran dibahagikan kepada empat sektor iaitu sektor A, B, C dan D.

Menurutnya, bagi sektor A, sebanyak 90 peratus kebakaran berjaya dipadamkan manakala sektor B masih terbakar 100 peratus.

“Bagi sektor C, sebanyak 50 peratus sudah dipadamkan dan sektor D pula berjaya dipadamkan sebanyak 70 peratus.

“Baki luas kebakaran 10,287 meter persegi, sebanyak 77.5 peratus berjaya dipadamkan semalam,” katanya.

Katanya, sebarang maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa. – Info X