Search

Pembenihan awan berjaya turunkan hujan

March 30, 2024

Info X Reporters

PAPAR: Operasi pembenihan awan yang dilaksanakan di daerah ini semalam berjaya menurunkan hujan dengan kejayaan 67 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), Mohd Fuad Abdullah, berkata setakat jam 4 petang semalam sebanyak empat milimeter curahan hujan direkodkan.

Katanya, operasi yang dilaksanakan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Bahagian Bekalan Air Wilayah Persekutuan Labuan itu dimulakan pada jam 11.05 pagi hingga 1.56 tengah hari semalam.

“Sehingga jam 4 petang semalam, jumlah hujan yang dicatat di Papar ialah sebanyak empat milimeter iaitu dengan kejayaan 67 peratus,” katanya menerusi kenyataan perkembangan semasa bencana kemarau daerah Papar, di sini.

Operasi pembenihan awan yang menggunakan pesawat C-130 Hercules milik TUDM itu dimulakan Jumaat lalu dan dijadual berakhir hari ini dengan tumpuan di kawasan tadahan daerah Papar, Lahad Datu dan Tawau.

Sementara itu, kataya daerah ini masih mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat walaupun sudah ada hujan semalam.

Katanya, bacaan IPU di daerah ini yang diambil di kawasan Kimanis mencecah hingga 200 kelmarin sebelum turun ke paras 175 selepas hujan pada jam 9 malam tadi.

Paras IPU setakat jam 10 pagi ini pula menunjukkan bacaan 158.

“Daerah Papar turut menerima kesan langsung daripada bacaan IPU tidak sihat melebihi 24 jam iaitu antara 151 hingga 200 dikenal pasti di kawasan Kimanis.

“Selepas kejayaan operasi pembenihan awan (OPA) semalam, IPU di Kimanis setakat jam 9 malam tadi sedikit berkurang kepada 175 tetapi masih pada
tahap tidak sihat.

“Oleh itu, bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap bahaya pembakaran terbuka pada musim panas, Jabatan Penerangan Negeri Sabah khususnya Pejabat Penerangan Daerah Papar melaksanakan Info On Wheels di beberapa lokasi,” katanya.

Semalam, katanya program Info On Wheels Jabatan Penerangan dilaksanakan di Kampung Belud Kota Kawang, Kampung Lama Kawang, Kampung Tanaki dan Kampung Marahang. – Info X