Search

LRA Pulau Sebatik beroperasi semula pada tahap minimum

March 31, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Selepas beberapa lama ditutup akibat kekeringan air empangan, loji rawatan air (LRA) di Pulau Sebatik dilapor beroperasi semula pada tahap minimum dengan kapasiti 0.3 juta liter sehari (MLD).

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata empangan di pulau itu kembali menakung air selepas menerima hujan menerusi operasi pembenihan awan yang dijalankan sejak Khamis lalu.

Katanya, perkembangan itu memberi sedikit kelegaan kepada penduduk Sebatik kerana pulau itu dan Papat adalah kawasan yang berdepan masalah air kritikal akibat kemarau sejak awal tahun ini.

“Pembenihan awan yang dilaksanakan tiga hari hingga Sabtu (semalam) menunjukkan kejayaan 67 peratus bagi dua hari operasi berikutan ada hujan di Lahad Datu, Tawau dan Papar serta Kota Kinabalu.

“Namun, kita belum dapat kepastian sama ada hujan juga turun di kawasan tadahan yang menjadi sumber air bagi sungai dan empangan kita.

“Tapi, di Pulau Sebatik kita sudah nampak kesannya apabila empangan yang kering sebelum ini berisi semula dan LRA dapat berfungsi dalam keadaan minimum 0.3 MLD,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis berbuka puasa bersama anak yatim, petugas Pejabat Parlimen Putatan dan media, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, katanya Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) masih meneruskan agihan air menerusi sumber air bawah tanah menggunakan lori tangki kepada penduduk Pulau Sebatik memandangkan air terawat yang dapat disalurkan ketika ini masih pada tahap minimum.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata hujan yang mulai berlaku selepas operasi pembenihan awan dan disusuli peralihan monsun sepanjang April ini diharap dapat memulihkan paras air di semua sungai dan empangan negeri ini tidak lama lagi.

“Hujan di kawasan tadahan juga penting bagi meningkatkan paras air sungai terutama di Papar yang mana kemarau menyebabkan air di muka sauk LRA Limbahau ketika ini dimasuki air masin dan tidak dapat diproses.

“Sungai masih ada air tetapi tidak dapat dirawat kerana tahap kemasinan yang tinggi dan kita berharap dengan adanya hujan di kawasan tadahan ia dapat menolak air masin ke hilir bagi membolehkan LRA beroperasi semula,” katanya.

Berdasarkan laporan setakat 17 Mac lalu, empangan di Pulau Sebatik adalah satu-satunya fasiliti takungan air yang kering akibat kemarau di Sabah, manakala empangan lain dilaporkan mampu bertahan antara sebulan hingga sembilan bulan.

Takungan air terbabit ialah Empangan Sepagaya di Lahad Datu, mempunyai baki simpanan air yang mampu bertahan selama 39 hari, diikuti Empangan Telibong, Tamparuli (64 hari), Empangan Babagon, Penampang (86 hari) dan Empangan Betotan, Sandakan (95 hari).

Hanya Empangan Milau di Kudat mempunyai baki simpanan air mentah yang mampu bertahan lebih lama iaitu selama 271 hari. – Info X