Search

Warga emas maut, kereta terbabas rempuh pagar rumah

March 31, 2024

Info X Reporters

LAHAD DATU: Seorang wanita warga emas maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum merempuh pagar rumah di Taman Gabungan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari, mangsa berusia 70 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad berkata, kejadian membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Viva dipandu mangsa.

Katanya, hasil siasatan polis mendapati punca kemalangan adalah disebabkan kecuaian pemandu Perodua Viva yang gagal mengawal dan merempuh pintu pagar sebuah rumah.

“Kereta dipandu mangsa turut merempuh sebuah kereta yang parkir di kawasan perumahan berkenaan.

“Akibat daripada itu, mangsa wanita warga emas disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kereta Perodua Viva dipandu mangsa merempuh pagar rumah dan sebuah kereta di Taman Gabungan, Lahad Datu.

Dr Rohan Shah berkata, sampel darah pemandu telah diambil untuk dianalisa oleh pihak Jabatan Kimia Malaysia di Kota Kinabalu.

“Siasatan diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Mana-mana individu yang melihat kejadian ini, boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, Inspektor Mohamad Humaidi Harun di talian 089-881255 sambungan 414 untuk membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, beliau menasihati kepada pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya sedia ada serta mengamalkan sikap sabar.

Kereta Perodua Viva yang dipandu mangsa turut rosak dalam kejadian di Taman Gabungan, Lahad Datu.

“Berhati-hatilah ketika memandu serta mementingkan keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain.

“Manakala di kalangan pemandu warga emas supaya sentiasa mementingkan keupayaan dan tahap kesihatan masing-masing ketika memandu,” katanya. – Info X