SANDAKAN: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas bot dinaiki bertembung dengan sebuah lagi bot di perairan Pulau Tanjung Batu, di sini, tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam itu, mangsa berusia 23 tahun dilaporkan terjatuh ke laut selepas insiden pertembungan dua bot berkenaan.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kescemasan mengenai kejadian itu pada jam 12.44 tengah malam.
Katanya, seramai empat pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan digerakkan ke lokasi kejadian.
“Menurut laporan, lelaki terbabit dipercayai terjatuh ke laut dan hilang selepas bot yang dinaiki bertembung dengan sebuah lagi bot.
“Bagaimanapun, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mula dijalankan pada jam 7.30 pagi dan sehingga kini mangsa belum ditemukan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, operasi masih dilakukan di sekitar perairan mangsa dilaporkan hilang.
“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X