Search

Sungai Tuaran tercemar? Pihak berkuasa sedang siasat – Madius

April 1, 2024

Info X Reporters

TUARAN: Air Sungai Tuaran yang menjadi sumber bekalan air ribuan penduduk daerah ini dan Kota Kinabalu didakwa dicemari najis babi berikutan limpahan air kumbahan dari kolam takungan najis babi di sebuah ladang ternakan itu di Tamparuli.

Pencemaran itu didedahkan seorang pengguna Facebook yang memuat naik rakaman video menunjukkan aliran air berbau busuk dan kotor dari sebuah kolam takungan najis babi sebelum memasuki sebatang sungai, dipercayai Sungai Tuaran.

Video berkenaan viral sebelum tindakan diambil pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan terbabit, seperti dikongsi Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau di laman Facebook beliau, hari ini.

Air dari kolam takungan najis di sebuah ladang ternakan babi di Tamparuli didakwa melimpah sebelum mengalir ke sungai berhampiran.

Berdasarkan perkongsian beliau, Madius berkata Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tuaran sangat prihatin dengan aduan berkaitan pencemaran sungai daripada ladang penternakan khinzir (babi) yang dilaporkan berlaku di sebuah sungai di Tamparuli.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, Pusat Khidmat bersama-sama dengan pihak berkuasa kelmarin telah membuat pemeriksaan di lokasi sungai seperti yang didedahkan dalam sebuah video yang tular semalam.

Penguatkuasa menjalankan siasatan berhubung pencemaran sungai berpunca daripada ladang ternakan babi di Tamparuli.

“Pada ketika ini siasatan sedang dilakukan oleh pihak berkuasa untuk proses tindakan seterusnya.

“Di pihak Pusat Khidmat, kita menyokong penuh segala siasatan yang dijalankan dan berharap satu penyelesaian segera dapat dilaksanakan.

“Kita juga menasihatkan agar orang ramai termasuk pengusaha-pengusaha ladang ternakan sentiasa mematuhi standard dan peraturan yang ditetapkan apabila melaksanakan aktiviti pertanian dan penternakan dengan tidak melakukan sebarang pencemaran alam sekitar,” katanya.

Madius turut berkongsi beberapa keping gambar yang menunjukkan penguatkuasa jabatan dan agensi yang berkaitan sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan pencemaran sungai disebabkan penternakan babi. – Info X