KOTA KINABALU: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin tidak berhasrat untuk melepaskan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.
Bercakap kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa UMNO Sabah bersama media dan anak yatim, di sini, malam tadi, Bung Moktar berkata sebagai ‘panglima’ UMNO Sabah, adalah tidak wajar untuk beliau mengundurkan diri.
Bagaimanapun, sebelum itu, beliau menyatakan kesediaannya untuk memberi laluan kepada muka baharu, dengan syarat penggantinya itu mesti menjadikan UMNO lebih kuat di Sabah berbanding di bawah pimpinannya.
“Kalau ada jaminan UMNO Sabah akan bertambah kuat kalau bukan di bawah pimpinan saya, saya boleh lepaskan (kerusi). Tapi, sebagai ketua panglima UMNO Sabah, mana boleh panglima ‘gostan’ (berundur),” katanya.
Kerusi DUN Lamag yang disandangnya sejak 2020 adalah sebahagian daripada tiga kerusi DUN, selain Sukau dan Kuamut dalam Parlimen Kinabatangan yang turut disandangnya sejak beberapa penggal.
Pada PRN16 Sabah, 26 September 2020, Bung Moktar memenangi kerusi DUN Lamag atas tiket Barisan Nasional (BN) yang pertama kali ditandingkan dengan memperolehi 661 majoriti dalam pertandingan enam penjuru.
Sementara itu, Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, berkata UMNO Sabah akan mengemukakan beberapa muka baharu untuk menggalas misi parti memenangi sebanyak mungkin kerusi yang akan ditandingi pada PRN17 nanti.
“Memang ada muka baharu, tapi saya belum boleh dedahkan sebab kita masih tapis dan minta mereka turun padang jumpa pengundi supaya rakyat tahu siapa calon mereka.
“Kita akan timbang sebaik mungkin nanti sebab hakikatnya politik memerlukan proses yang panjang dan kita perlu ada muka baharu.
“Kriteria yang kita tetapkan ialah mereka mestilah disukai rakyat, boleh menang dan berintegriti, tidak melompat dan tidak materialistik,” katanya.
Bung Moktar berkata, UMNO Sabah tidak menggunakan akuan bersumpah (SD) sebagai pendekatan memastikan wakil rakyatnya tidak berpaling tadah kerana ia bukan jaminan yang boleh menghalang perbuatan itu.
Sebaliknya, beliau berkata bakal calon hanya perlu menyatakan taat setia dan berjuang dengan hati yang tulus kepada parti sebagai ikatan untuk terus kekal bersama UMNO walau dalam keadaan apa sekalipun. – Info X