KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mengalami kerugian yang dianggar mencecah RM40 juta akibat kebakaran memusnahkan sejumlah besar gulungan kabel di stor simpanan SESB di Inanam, dekat sini.
Perkara itu dinyatakan Pengerusi SESB, Datuk Seri Madius Tangau ketika meninjau lokasi kebakaran terbabit bersama Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Mohd Yaakob Jaafar, malam ini.
Kebakaran yang bermula tengah hari tadi dan masih berlarutan hingga ke malam ini membabitkan keluasan 1.2 hektar yang menempatkan sejumlah besar gulungan kabel milik SESB.
Madius berkata, beliau dan Mohd Yaakob bergegas ke lokasi kebakaran selepas Majlis Berbuka Puasa dan Penyerahan Bantuan SESB kepada 100 golongan asnaf di Masjid Ubbudiyah, Pekan Tamparuli, petang tadi.
Katanya, kabel yang ditempatkan di stor terbuka itu adalah untuk diagihkan ke seluruh negeri, kebanyakannya digunakan membuat penyambungan bekalan elektrik ke rumah pengguna.
“Luas kawasan yang terbakar lebih kurang tiga ekar (1.2 hektar), tapi ada juga kabel yang dapat diselamatkan dengan anggaran awal kerugian sebanyak RM40 juta.
“Setakat ini, punca kebakaran belum dikenal pasti. Kabel yang terbakar ada yang baru sampai pagi tadi sebelum diagihkan ke seluruh Sabah.
“Akibat kebakaran ini, SESB terpaksa menempah semula kabel, khususnya untuk penyambungan bekalan elektrik ke rumah-rumah,” katanya ketika diminta mengulas kebakaran terbabit di lokasi kejadian, malam ini.
Katanya, operasi memadam kebakaran itu sejak tengah hari tadi dilaksanakan kira-kira 60 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu, Jalan Lintas dan Penampang.
“Masalah utama operasi memadam kebakaran ialah air. Pada mulanya menggunakan pili bomba tapi habis air, lepas itu sedut air di parit berhampiran, hanya 40 minit saja air di parit juga habis.
“Lepas itu bomba terpaksa mengambil air dari Sungai Manggatal sejauh kira-kira 1.2 kilometer dari lokasi kebakaran. Kalau tekanan air tidak kuat, api di bahagian luar padam, tapi di dalam masih ada api,” katanya.
Beliau menyifatkan insiden itu sebagai kejadian malang kerana memusnahkan kelengkapan untuk prasarana elektrik, selain mengakibatkan jumlah kerugian yang besar.
“Apapun kita ucap terima kasih kepada bomba kerana berusaha memadam kebakaran. Kita faham cabaran dihadapi bomba dan ini juga satu pengajaran kepada SESB untuk menyediakan tempat yang lebih selamat pada masa akan datang,” katanya. – Info X