KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick, enggan mendedahkan lebih awal kerusi yang disasarkan parti itu untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Beliau berkata, soal kerusi perlu dirundingkan terlebih dahulu dengan rakan parti dalam Pakatan Harapan (PH) dan gabungan kerjasama mereka sebelum membuat keputusan.
Katanya, beliau sedar semua parti mempunyai keinginan untuk bertanding di semua kerusi dan atas sebab itu perkara berkenaan perlu dibincangkan dalam suasana yang harmoni.
“Apa yang pasti pada saya ialah saya ingin melihat negara Malaysia terus harmoni dan stabil termasuk di Sabah ini perlu bermula dengan kestabilan.
“Semakin banyak kita berantakan berebut tentang kerusi tapi tidak dapat merangkul kekuatan untuk menstabilkan Sabah, menyelesaikan keperluan sebenar di Sabah, saya fikir agak berat. Sebab itu perbincangan harus bermula dari sekarang,” katanya.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata demikian ketika dtemui pada majlis berbuka puasa bersama kakitangan agensi kementeriannya dan media, di sini, malam tadi.
Ahli Parlimen Penampang itu ditanya sama ada UPKO mengintai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog yang pernah menjadi kubu kuat parti itu sebelum ditawan parti lawan sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2013.
Mengulas lanjut, Ewon berkata beliau mementingkan pendekatan bekerjasama bukan hanya dalam hal politik, malah yang berkaitan usaha kementerian dalam membantu rakyat.
“Seperti mana kamu lihat, saya dan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Kurup, sekurang-kurangnya sudah memulakan kerjasama ini dahulu.
“Tidak bererti itu kerjasama politik tetapi kita merangkul kekuatan di kementerian masing-masing dahulu supaya rakyat Sabah boleh menilai.
“Kalau kita bercakap tentang kerusi setiap hari sentiasa bergaduh, tapi kalau kita merangkul kekuatan di kementerian masing-masing dan kita gabungkan, saya fikir rakyat yang boleh menerima manfaat itu akan bercakap bagi pihak kita apabila sampai masanya mengenai soal kerusi itu,” katanya.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, berkata pada masa ini UPKO masih meneliti kerusi yang mahu ditandingi parti itu dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk rakan kerjasama dan penerimaan rakyat.
“Saya selaku presiden parti ingin mendengar daripada banyak pihak sejauh mana kita boleh menetapkan kerusi kita, tapi yablng pasti UPKO ingin bertanding lebih daripada kawasan yang kita menang sebelum ini.
“Di peringkat DUN ini kita hanya ada satu ADUN saja, di Kadamaian saja, jadi UPKO perlu menang lebih daripada kerusi itu,” katanya.
Secara tradisi katanya, UPKO menyasarkan kerusi yang ramai pengundi Kadazandusun Murut (KDM), selain kerusi campuran, termasuk di kawasan bandar. – Info X