Search

Adakah saya ketinggalan zaman dan berkhayal kerana menyuarakan masalah rakyat? – Bung Moktar

April 5, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mempersoalkan kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, semalam yang menyifatkan beliau ketinggalan zaman dan hanya berkhayal.

Ia berkaitan dakwaan Bung Moktar sebelum ini yang menyifatkan kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekarang sebagai ‘kerajaan pengumuman’ kerana hanya banyak membuat pengumuman, namun hasilnya tidak kelihatan.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, sebagai wakil rakyat, apa yang dilakukannya tentu menjurus kepada usaha untuk mengangkat suara rakyat agar didengari dan mendapat pembelaan yang sewajarnya.

“Saya ingin merujuk kepada bidasan YAB Ketua Menteri terhadap teguran saya terkait dengan kemaslahatan rakyat berhadapan dengan masalah infrastruktur khususnya bekalan air dan elektrik serta jalan raya yang tidak diselenggara dengan baik.

“Beliau secara mudah menafikan realiti sebenar masalah rakyat dengan berkata bahawa saya ini ketinggalan zaman dan hanya tahu khayalan diri sendiri.

“Kalau saya ini dituduh sebagai ketinggalan zaman, barangkali YAB Ketua Menteri pada penggal ini jauh terpisah dengan derita rakyat sehingga tidak cakna dengan apa yang berlaku di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bung Moktar turut bertanya kepada Ketua Menteri sama ada beliau menyedari bahawa negeri ini sedang berhadapan dengan krisis air yang kritikal hingga penduduk mengeluh kerana bekalan air yang sering terputus.

Beliau juga bertanya adakah rakyat yang berdepan dengan situasi itu turut dianggap ketinggalan zaman dan hanya berkhayal mengenai masalah yang dihadapi mereka ketika ini.

Selain itu, Bung Moktar turut menekankan mengenai gangguan bekalan elektrik yang mana Sabah dikenal pasti sebagai negeri paling tinggi gangguan di negara ini dengan kira-kira 300 minit setiap pengguna dalam setahun.

“Adakah rakyat juga ketinggalan zaman sehingga tidak mengetahui data-data ini dan hanya pasrah dengan gangguan bekalan elektrik yang berterusan,” soalnya.

Beliau berkata, walaupun Sabah Energy RoadMap diumumkan pada tahun lalu, jumlah pembangunan janaan tenaga masih tidak mencukupi untuk mengimbangi potensi pelaburan di negeri ini terutama dalam sektor industri pembuatan.

Malah, katanya cadangan seperti Battery Energy Storage System (BESS) sebagai satu penyelesaian jangka pendek adalah tidak rasional kerana memerlukan tenaga daripada solar atau angin.

“Maknanya, kita perlu membina sistem solar atau kincir angin terlebih dahulu untuk melaksanakan BESS ini. Bukankah itu seperti dua kali kerja,” katanya.

Bung Moktar berkata Ketua Menteri juga mungkin tidak menyedari mengenai peningkatan peratusan kemiskinan negeri di bawah kepemimpinannya walaupun gigih memasang papan pemidang Sabah Maku Jaya di seluruh negeri.

Jelasnya, ketika beliau menjadi Timbalan Ketua Menteri sebelum ini, beliau mendesak Kerajaan Persekutuan agar menjadikan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sebagai sebuah Jabatan Teknikal Bertauliah.

Katanya, ia penting agar kadar pembangunan di negeri ini dapat dipercepatkan tanpa merujuk kelulusan jabatan teknikal persekutuan yang mempunyai banyak birokrasi.

“Kita tidak mahu apabila bajet pembangunan berbilion ringgit diumumkan setiap tahun, peruntukan tersebut tidak dapat digunakan kerana kelembapan dari segi perancangan dan kelulusan jabatan.

“Apakah saya ini ketinggalan zaman dan berkhayal dalam khayalan sendiri?,” soalnya lagi.

Sementara itu, Bung Moktar berkata, Ketua Menteri sebelum ini juga mengumumkan banyak pelaburan di negeri ini yang didakwa dapat mencipta puluhan ribu pekerjaan kepada rakyat dan memangkin pembangunan negeri.

“Saya ingin bertanya, apakah kemajuan yang telah dicapai bagi projek seperti ProjekTanjung Aru Eco Development (TAED), Empangan Papar, KK Resort City Lok Kawi Resort City dan lain-lain,” katanya.

Bung Moktar juga bertanya kepada Ketua Menteri mengenai langkah proaktif yang dilaksanakan untuk mengurangkan kemiskinan, khususnya berkaitan wajaran dalam pengiraan indeks kemiskinan pelbagai dimensi.

Katanya, ia merangkumi indikator seperti akses rakyat kepada pendidikan, kesihatan, perumahan mampu milik, kemudahan asas yang berkualiti, dan peningkatan pendapatan rakyat.

“Indikator-indikator tersebut adalah sangat penting untuk memastikan derita rakyat dapat dikurangkan dengan drastik dan secara sistematik mengurangkan peratusan kemiskinan di negeri ini.

“Nasihat saya buat YAB Ketua Menteri agar sedarlah bahawa dengan membina deretan ‘billboard’ Sabah Maju Jaya di seluruh negeri tidak akan dapat mengubah kehidupan rakyat,” katanya. – Info X