PENAMPANG: Dua pengedar dadah berjaya ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BJSND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dalam dua siri tangkapan sekitar daerah ini.
Ketua Polis Daerah Penampang Superintendan Sammy Newton berkata, sejumlah 11.67 gram dadah jenis syabu bernilai RM1730 berjaya dirampas dalam operasi terbabit.

“Tangkapan pertama dibuat pada 02 April lalu kira-kira jam 9.30 malam apabila pihak polis menahan seorang lelaki berusia 54 tahun.
“Hasil pemeriksaan fizikal terhadap suspek menemukan satu peket plastik lutsinar berisiketulan hablur jernih disyaki dadah jenih syabu seberat 5.53 gram yang dianggarkan bernilai RM830,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, tangkapan kedua dibuat pada jam 12 tengah hari 04 April lalu membabitkan lelaki berumur 43 tahun yang memiliki dua peket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenih syabu seberat 6.14 gram yang bernilai RM900 pada harga pasaran semasa.
“Semua tangkapan didapati positif dadah jenis methamphetamine (meth) dan amphetamine (amp) hasil daripada ujian saringan awal air kencing dibuat.
“Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39 A (1) dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Beliau juga menasihati masyarakat terutamanya ibu bapa untuk sentiasa mengawasi anak-anak supaya tidak terjebak dengan penyalahgunaan dadah dan terus menjadi mata serta telinga polis dalam menyalurkan maklumat bagi membanteras gejala dadah. – Info X.