Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew, berkata ketika ini kerajaan negeri sedang di peringkat akhir untuk penetapan terma dan syarat bagi program berkenaan.
“Kabinet negeri sudah meluluskan pindaan berkenaan dan apabila ia diwartakan, kita akan memaparkan terma dan syarat di laman sesawang program itu untuk dilihat pemohon yang berpotensi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika soal jawab Sesi Libat Urus Pemain Industri Pelancongan 2024, di sini, baru-baru ini.
Christina menyatakan perkara itu ketika ditanya Presiden Persatuan Pelancongan Sandakan, Teo Chee Kim yang ingin mengetahui kriteria kelayakan bagi menyertai Program Sabah-MM2H.
Selain mengenai program itu, Chee Kim turut meluahkan kerisauannya terhadap perubahan jadual penerbangan pesawat AirAsia yang ketika ini berlepas dari Kota Kinabalu ke Sandakan pada jam 4.30 petang.

“Saya bimbang ada pengembara yang datang dari destinasi lain tidak dapat tiba di Kota Kinabalu pada masa yang tepat untuk menaiki pesawat seterusnya ke Sandakan jika waktu pelepasan diubah ke jam 2.45 petang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif. (CEO) Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Julinus Jeffrey Jimit, berkata libat urus yang kerap dengan pemegang taruh industri pelancongan penting bagi menyelesaikan isu yang memberi kesan kepada industri pelancongan negeri.
Katanya, sesi libat urus baru-baru ini menunjukkan komitmen kementerian melalui STB bagi memastikan penyatuan satu misi dan tujuan ke arah mewujudkan ekosistem pelancongan yang terbaik di Sabah.

“Kita akan terus mengadakan libat urus dengan pemegang taruh pelancongan secara suku tahunan atau separuh tahunan seperti disarankan Christina memandangkan sinergi ini boleh menjadi tonggak kekuatan bagi kejayaan di bawah hala tuju pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilaksanakan kerajaan negeri.
“Bersama dengan pemain undustri, saya percaya kita boleh mencapai sasaran pertumbuhan pelancongan pada 2024 di bawah kepemimpinan menteri,” katanya. – Info X