Search

Loji air Limbahau kembali beroperasi selepas hujan lebat di Papar sejak semalam

April 7, 2024

Info X Reporters

PAPAR: Loji Rawatan Air (LRA) Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) Limbahau yang ditutup sejak kira-kira dua bulan lalu dijangka beroperasi semula dalam masa terdekat.

Perkembangan baik itu dikongsikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menerusi laman Facebook beliau, hari ini.

Katanya, air Sungai Papar di muka sauk LRA EWSS Limbahau yang sebelum ini pada tahap kemasinan yang tinggi sudah kembali ke paras normal dan selamat untuk dirawat.

Beliau berkata, penurunan kadar kemasinan air Sungai Papar di muka sauk LRA itu hingga di bawa 120 miligram per liter (MGL) disebabkan hujan lebat berterusan sejak semalam.

“Difahamkan setelah hujan lebat agak lama semalam di Papar, kadar bacaan klorida atau air masin sumber air mentah di ‘water intake’ Loji EWSS Limbahau telah berada di bawah 120 MGL pagi ini.

“Sekarang pengisian tangki-tangki loji sedang dilaksana untuk membolehkan air mula dirawat serta disalur kepada paip awam.

“Kita doakan hujan terus turun hari ini supaya kadar klorida akan terus menurun dan LRA akan kembali beroperasi seperti biasa setelah ditutup sejak 17 Februari lalu. Alhamdulillah,” katanya.

Bacaan air Sungai Papar di muka sauk LRA EWSS Limbahau sebelum ini mencecah hingga 5,000 MGL berbanding tahap maksimum yang boleh dirawat iaitu 120 MGL.

Peningkatan bacaan tahap kemasinan air sungai itu disebabkan cuaca panas dan kering yang berpanjangan sejak kira-kira dua bulan lalu, sekali gus menjejaskan kira-kira 150,000 penduduk daerah ini.

Ia kerana penutupan LRA berkapasiti 10 juta liter sehari (MLD) itu dan penurunan separuh daripada 10 MLD kapasiti satu lagi LRA iaitu yang dikendalikan Jetama Sdn Bhd dari sumber air sungai yang sama menyebabkan penduduk terputus bekalan air.

Krisis air yang kritikal kemudian melanda daerah ini hingga terpaksa diisytiharkan sebagai kawasan bencana kemarau pada 13 Mac lalu. – Info X