KALABAKAN: Seorang lelaki melecur dalam kebakaran di sebuah restoran makanan di Jalan Pulut, Maliau Basin, di sini, hari ini.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.36 pagi.
Katanya, sepasukan anggota termasuk pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kalabakan digerakkan ke lokasi kejadian terletak sejauh 110 kilometer dari balai.
“Kebakaran membabitkan sebuah kedai makan jenis tidak kekal terbakar 90 peratus.
“Terdapat seorang mangsa melecur di bahagian tangan dan dihantar ke Klinik Kesihatan Felda Umas oleh orang awan sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran, satu pancutan dengan sumber air terbuka.
“Turut terbakar sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu.
“PGO Sabah mengalami kesukaran mendapatkan maklumat kebakaran disebabkan tiada litupan girn dan talian telefon di lokasi,” katanya.
Katanya lagi, operasi terkawal pada 3.25 petang dan operasi tamat 12 minit kemudian.
“Punca kejadian masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya.
Terdahulu, kejadian itu tular selepas beberapa pengguna jalan raya memuat naik klip video memaparkan kejadian kebakaran berkenaan.
Restoran itu adalah lokasi persinggahan pengguna jalan raya yang melalui jalan Kota Kinabalu, Keningau dan Tawau. – Info X