SEMPORNA: Dua beradik yang tersesat ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas keluar melawat rakan mereka di Ladang Sagaria, di sini, ditemukan selamat malam tadi.
Kedua-dua mereka lelaki berusia 22 dan 24 tahun ditemui pasukan bomba kira-kira empat kilometer dari pintu masuk utama ladang berkenaan, pada jam 9.41 malam.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.12 malam.
Katanya, sepasukan bomba bersama jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna diketuai komander operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Asmaraie Nordanig digerakkan ke lokasi terletak 32 kilometer dari balai.
“PGO Sabah menerima panggilan kecemasan terdapat dua mangsa sesat di ladang Sagaria, Semporna.
“Menurut mangsa kereta yang dinaiki mereka terkubur di dalam kawasan ladang dan cuba untuk keluar dari ladang dengan berjalan kaki sehingga tersesat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, kedua-dua mangsa berjaya ditemui dengan jarak empat kilometer dari pintu masuk utama ladang dalam keadaan selamat oleh pasukan bomba dan pekerja ladang.
“Mangsa kemudian dibawa keluar menggunakan jentera EMRS.
“Operasi ditamatkan pada jam 9.41 malam,” katanya. – Info X