KOTA KINABALU: Seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika menjalankan aktiviti menyelam mencari ikan di perairan Tanjung Lipat, Jalan Tun Fuad Stephens, di sini, malam tadi.
Mangsa Hendry Ritis Bailus, 52, warga Filipina dikatakan menjalankan aktiviti berkenaan bersama 14 rakannya, kira-kira jam 8.30 malam.
Bagaimanapun hanya tinggal 14 orang sahaja yang timbul manakala seorang lagi dilaporkan hilang.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berhubung kejadian itu pada jam 2 pagi.
Katanya, seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Zulfadli Usman digerakkan ke tempat kejadian.
“Pasukan bomba ke lokasi kejadian untuk mendapatkan maklumat terperinci dan seterusnya operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan.
“SAR dilakukan di pesisir pantai berkenaan bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya lagi, setakat ini mangsa belum ditemui dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa. – Info X