Search

LRA Limbahau ditutup lagi

April 14, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Loji Rawatan Air (LRA) Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) Limbahau berkapasiti 10 juta liter sehari (MLD) di Papar ditutup semula sejak Aidilfitri kedua pada Khamis lalu selepas air mentah di muka sauknya kembali mencatat tahap kemasinan yang tinggi.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata penutupan itu terpaksa dilakukan walaupun baru beberapa hari loji itu dibuka semula setelah ditutup lebih sebulan sejak 17 Februari lalu akibat masalah yang sama.

Katanya, sebuah lagi loji di lokasi berhampiran, LRA Jetama pula terpaksa mengurangkan kapasiti pengeluaran daripada 13 juta liter sehari (MLD) kepada sembilan MLD disebabkan satu daripada muka sauknya turut dimasuki air masin.

“Saya dimaklumkan pada Hari Raya kedua, LRA EWSS Limbahau di bawah kendalian Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) terpaksa dihentikan sementara sekali lagi kerana air masin masih masuk ke dalam muka sauk, manakala aliran air dari hulu Sungai Papar berkurangan.

“Jadi kita menghentikan operasi LRA terbabit bagi mengelakkan kejadian air masin diproses sebgai air terawat,” katanya ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di Tuaran, semalam.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata disebabkan penutupan LRA EWSS Limbahau dan penurunan kapasiti LRA Jetama, penduduk daerah Papar sekali lagi berdepan kekurangan bekalan air sebanyak 14 MLD.

Katanya, penghantaran bekalan air menggunakan lori tangki kepada semua penduduk yang terjejas di daerah itu terpaksa diaktifkan semula sehingga kandungan klorida atau kemasinan air Sungai Papar di muka sauk kedua-dua LRA kembali ke paras normal.

“Jadi kita berdoalah semoga hujan kembali turun terutamanya di kawasan tadahan supaya air Sungai Papar bertambah bagi menurunkan tahap kemasinannya hingga ke paras yang bolah dirawat,” katanya.

Shahelmey ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua Menteri di Dewan Sri Sulaman, Tuaran.

Pada 13 Mac lalu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Papar mengisytiharkan bencana kemarau di daerah itu berikutan masalah air yang kritikal apabila LRA terpaksa ditutup kerana tahap kemasinan air Sungai Papar mencecah 6,000 miligram perliter (MGL) berbanding kadar maksimum boleh dirawat, iaitu 120 MGL.

Situasi yang menjejaskan kira-kira 150,000 penduduk daerah itu pulih seketika beberapa hari menjelang Aidilfitri berikutan hujan lebat yang meningkatkan paras air Sungai Papar.

Sementara itu, di Pulau Sebatik, Shahelmey berkata pihak JANS masih melaksanakan penghantaran bekalan air kepada penduduk menggunakan sumber air telaga tiub.

Katanya, kolam takungan air milik JANS di pulau itu yang kembali menakung air pada paras minimum sebelum ini, namun LRA masih tidak dapat beroperasi dengan berkesan untuk memenuhi keperluan penduduk.

“Bagaimanapun, saya belum mendapat perkembangan terkini di Sebatik. Hari itu ada hujan yang membolehkan empangan kembali berisi air, namun operasi LRA masih tidak efisien.

“Kita memantau situasi ini dari semasa ke semasa dan berharap dalam peralihan monsun ini kita lebih kerap hujan bagi mengembalikan paras empangan atau kolam takungan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengulangi kesediaan kerajaan negeri untuk melaksanakan semula operasi pembenihan awan jika tiada hujan berterusan di negeri ini.

Katanya, operasi itu sudah digariskan dalam perancangan kerajaan negeri untuk dilaksanakan selagi situasi kemarau masih berpanjangan dan menjejaskan bekalan air penduduk.

Sebelum ini, operasi pembenihan awan yang dilaksanakan pada akhir Mac lalu di Papar, Lahad Datu dan Tawau berjaya menghasilkan hujan sekali gus meredakan sedikit masalah air di kawasan terbabit.- Info X