Search

Lelaki dikhuatiri lemas sebenarnya pulang awal

April 14, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Lelaki yang dikhuatiri lemas di pantai Tanjung Lipat, Jalan Tun Fuad Stephens, di sini, ditemui dalam keadaan selamat, pagi tadi.

Mangsa Hendry Ritis Bailus, 52, dipercayai sudah ‘timbul’ dan naik ke darat terlebih dahulu berbanding rakannya sebelum mendakwa tersesat.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam, mangsa ditemui dalam keadaan selamat.

“Mangsa selamat dan telah membuat pengesahan identiti di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

“Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan jam 8.32 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Hendry warga Filipina dikatakan menjalankan aktiviti menyelam mencari ikan bersama 14 rakannya di perairan Tanjung Lipat, di sini, kira-kira jam 8.30 malam tadi.

Pasukan bomba bersama APM yang melakukan SAR di pesisir pantai Tanjung Lipat, Kota Kinabalu.

Bagaimanapun hanya tinggal 14 orang sahaja yang timbul manakala seorang lagi dilaporkan hilang sebelum operasi SAR dilakukan, kira-kira jam 2 pagi.

Operasi SAR dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). – Info X