KENINGAU: Sebanyak tiga rumah dua tingkat musnah dalam kebakaran di Kampung Ria, Jalan Dangulad, di sini, hari ini.
Kejadian itu turut membabitkan kebakaran dua kenderaan namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.55 tengah hari.
Katanya, tiga jentera iaitu Fire Rescue Tender (FRT), Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan water tanker dengan kekuatan 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Leong Hoi Min dikerah ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba yang tiba di lokasi mendapati kebakaran membabitkan tiga rumah terbakar sepenuhnya.
“Pasukan operasi memadam kebakaran dua aliran, tiga pancutan daripada sumber air terbuka iaitu sungai menggunakan pam apung,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, kebakaran dapat dikawal pada 2.35 petang dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Selepas selesai membuat overhaul dan memastikan tiada bahaya lain yang wujud di lokasi kejadian, operasi ditamatkan pada 3.40 petang.
“Punca kejadian masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya. – Info X