Search

Dua rumah musnah dalam kebakaran di Pulau Bum-Bum

April 17, 2024

Info X Reporters

SEMPORNA: Dua rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Lok Butun, Pulau Bum-Bum, di sini, pagi tadi.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 8.19 pagi.

Katanya, seramai tujuh anggota dan pegawai bersama sebuah bot Kevlar dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Atas Air Semporna digerakkan ke lokasi kejadian.

“Operasi turut dibantu anggota dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Pasukan bomba sukar ke lokasi disebabkan air laut ketika itu surut dan bot tidak boleh sampai ke tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, sebaik tiba, pasukan bomba mendapati dua buah rumah jenis tidak kekal sudah musnah terbakar dan operasi terus dilakukan supaya api tidak merebak.

Anggota bomba memadam kebakaran rumah di Kampung Lok Butun, Pulau Bum-Bum, Semporna. – Foto/Bomba

Katanya, pasukan bomba menggunakan pam angkut mengambil air laut untuk digunakan dalam operasi pemadam kebakaran berkenaan.

“Setakat ini kebakaran hanya membabitkan kemusnahan harta benda sahaja, tiada laporan mengenai kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan lokasi kejadian selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 10.21 pagi,” katanya. – Info X