Search

Polis buru lelaki rakam video wanita dalam tandas

April 17, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis sedang memburu seorang lelaki selepas disyaki merakam seorang wanita di dalam tandas di sebuah pusat beli belah bebas cukai di Jalan Haji Saman, di sini, 6 April lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa wanita yang berusia lingkungan 20 tahun, jam 3.34 petang, pada 7 April lalu.

Katanya, siasatan mendapati, mangsa menyedari ada individu tidak dikenali sedang memegang telefon bimbit di bawah pintu tandas kira-kira jam 8.40 malam.

“Tindakan suspek itu dipercayai untuk merakam gambar atau video mangsa di dalam bilik tandas berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, hasil semakan terhadap kamera litar tertutup (CCTV) pusat beli belah berkenaan mendapati suspek adalah seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20-an dan memakai baju berwarna hitam serta seluar coklat ketika kejadian.

“Suspek juga mempunyai misai dan berjanggut nipis serta berselipar.

“Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berkenaan individu dalam rakaman CCTV ini diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Wan Azman Mat Salleh di talian 012-8260050 bagi membantu siasatan,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan. – Info X