KOTA KINABALU: Polis masih menjalankan siasatan berhubung kematian anak perempuan kepada Ketua Polis Daerah (KPD) Lahad Datu Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail yang ditemui di sebuah bilik di rumahnya di Taman Tabanak, Lahad Datu, hari ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kakak mangsa berusia 16 tahun adalah satu-satunya individu yang menemui remaja perempuan berusia 14 tahun berkenaan dalam keadaan berlumuran darah.
“Polis masih menyiasat bagaimana kejadian itu boleh berlaku. Kakak mangsa adalah satu-satunya individu yang menemui adiknya itu terbaring di dalam bilik berkenaan selepas pulang dari sekolah.
“Ketika kejadian, bapa mangsa pula berada di Kinabatangan, Sabah, atas urusan perpindahan rumah kerana baru berpindah selepas dinaikkan pangkat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, proses bedah siasat akan dijalankan jam 9 pagi esok dan pihaknya kini sedang mengumpul semua saksi untuk dirakam keterangan.
“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi contohnya mangsa tertembak diri sendiri atau sebagainya selagi siasatan belum disiapkan,” katanya. – Info X