KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) merasai kehilangan pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, malam tadi.
Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, berkata UPKO mempunyai sejarah hubungan rapat dengan PBRS yang ditubuhkan oleh mendiang pada 1994 dalam mencorak perjalanan politik Sabah sehingga ke hari ini.
Katanya, sepanjang karier politiknya, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Timbalan Ketua Menteri Sabah itu memberikan yang terbaik bukan saja kepada rakyat di Sabah, malah di seluruh negara.
“Dalam kepemimpinan, mendiang Tan Sri Joseph Kurup memberikan yang terbaik kepada rakyat dan negara kita. Pemergian mendiang adalah satu kehilangan dan mengingatkan kita mengenai jasa khidmat beliau selama ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, berkata sejurus mengetahui berita pemergian mendiang, beliau menghubungi anaknya yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Kurup bagi menyampaikan ucapan takziah.
“Saya telah menghubungi saudara Datuk Arthur bagi menyampaikan salam takziah saya dan parti UPKO atas pemergian ayahanda tercinta beliau, Tan Sri Joseph Kurup.
“Saya doakan agar saudara Datuk Arthur dan keluarga diberi kekuatan dan penghiburan,” katanya sambil menambah beliau dan pimpinan UPKO akan hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang sejurus jenazah mendiang tiba di Sabah nanti.
Difahamkan, jenazah Joseph Kurup akan dibawa balik menggunakan penerbangan komersial pada hari ini dan dibawa ke pusat pengurusan jenazah Fook Lu Siew di Batu 2, Jalan Tuaran, di sini, untuk penghormatan terakhir.
Kurup, 79, menubuhkan PBRS pada 1994 selepas meninggalkan Parti Bersatu Sabah (PBS) berikutan kejatuhan kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan pada masa itu.
PBRS adalah antara parti serpihan PBS, selain Parti Demokratik Sabah (PDS) (sekarang UPKO) dan Parti Maju Sabah (SAPP) yang kemudian menyertai Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan negeri bersama UMNO pada 1994.
Ahli politik veteran Kadazandusun Murut (KDM) yang juga pengasas bersama PBS pada 1985 memimpin PBRS selama 28 tahun sebelum bersara dan menyerahkan jawatan presiden PBRS kepada Arthur pada tahun lalu. – Info X