Search

MoU PBS, STAR langkah awal ke arah penggabungan

April 18, 2024

Info X Reporters

PENAMPANG: Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) sebagai langkah awal ke arah penggabungan pada satu majlis di Hongkod Koisaan, di sini, hari ini.

MoU itu ditandatangani Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Setiausaha Agung STAR, Datuk Edward Linggu, manakala PBS diwakili Timbalan Presidennya, Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Setiausaha Agungnya, Datuk Julitah Majungki.

Peristiwa bersejarah bagi kedua-dua parti itu disaksikan pengasas PBS yang juga Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, selain Ahli Majlis Tertinggi kedua-dua parti.

Dalam ucapannya, Jeffrey berkata kedua-dua parti perlu memulakan langkah ke arah penggabungan menerusi kerjasama yang dimulakan melalui MoU berkenaan.

“Setelah sekian lama, kita akhirnya dapat duduk di sini, tapi kita tidak mahu kelam kabut bergabung sebaliknya ‘bertunang’ dan bekerjasama dulu walaupun itulah (bergabung) objektif kita,” katanya.

Jeffrey berkata, melalui MoU itu, kedua-dua parti bersetuju untuk menubuhkan majlis kepemimpinan bersama sebagai mekanisme untuk membuat dasar dan keputusan tertinggi yang boleh diterima kedua-kedua pihak.

Pairin bersama pemimpin tertinggi PBS dan STAR pada Majlis Menandatangani MoU di Hongkod Koisaan, Penampang.

“Kita tiada pilihan selain daripada keperluan untuk bekerjasama dan bersolidariti dengan belajar daripada sejarah lalu ketika kita sering bertelingkah antara satu sama lain.

“Keadaan itu hanya merugikan kita dan atas kesedaran itu, kita belajar daripada kesilapan lalu dan mulakan kerjasama melalui MoU ini,” katanya.

Katanya, MoU itu juga bagi memastikan tiada lagi perebutan atau pertindihan kerusi di antara PBS dan STAR pada pilihan raya akan datang seperti yang pernah terjadi dalam pilihan raya sebelum ini.

Sementara itu, Dr Joachim berkata MoU itu adalah satu permulaan kepada PBS dan STAR untuk mengukuhkan kerjasama politik dan bersama-sama menyelesaikan isu utama di Sabah.

Katanya, MoU itu juga disasar sebagai usaha untuk menguatkan lagi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dianggotai mereka, khususnya dalam memastikan kemenangan gabungan itu pada pilihan raya akan datang.

Mengenai jumlah kerusi yang disasarkan menerusi MoU itu pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti, Dr Joachim berkata perkara itu akan dirunding bersama parti komponen GRS yang lain.

“Bagaimanapun, 13 kerusi yang dimenangi PBS dan STAR pada pilihan raya lalu akan kekal ditandingi, yang selebihnya kita akan bincang kemudian,” katanya.

Dalam pada itu, Pairin yang juga Penasihat Perdana PBS berharap agar MoU itu benar-benar dapat menyatukan kedua-dua parti setelah sekian lama berpecah. – Info X