KUDAT: Dua bot bersama 12 nelayan Vietnam yang mengaut hasil laut tanpa kebenaran ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di 5.2 dan 4.4 batu nautika timur laut Pulau Sibongkar Laut, di sini, semalam.
Pengarah APMM Zon Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, kedua-dua bot berkenaan dikesan aset ronda Zon Maritim Kudat ketika menjalankan rondaan Op Khas Pagar Laut.
Katanya, ketika pemeriksaan dijalankan, seramai 12 individu warga Vietnam berusia lingkungan 23 hingga 53 tahun yang mengendalikan bot tanpa memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan lanjut terhadap bot turut menemukan kira-kira 20 kilogram balat basah yang dipercayai ditangkap bersama peralatan menangkap balat yang diperbuat daripada besi.
“Turut ditemui 600 liter diesel,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, suspek dan semua barangan rampasan termasuk bot yang dianggarkan lebih RM3.5 juta diserahkan kepada pegawai penyiasat.

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1956/63.
“Zon Maritim Kudat juga menyeru kepada masyarakat khususnya komuniti maritim di Kudat untuk sama-sama membantu APMM dengan melaporkan sebarang salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut kepada Maritim Malaysia di talian 088-611858 (Pusat Operasi Kudat) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya. – Info X