PAPAR: Penubuhan Pusat Jantung Negara (PJN) Sabah yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam diyakini dapat meningkatkan lagi kualiti kesihatan, khususnya untuk pesakit jantung di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kemudahan itu sangat penting bagi mengatasi kesukaran dihadapi rakyat negeri ini untuk mendapatkan rawatan jantung tanpa kemudahan yang lengkap ketika ini.
“Tentu sekali ini (meningkatkan kualiti kesihatan) yang kita mahukan kerana aspek kesihatan cukup penting untuk kita selain pendidikan dan lain-lain.
“Kerajaan persekutuan memahami perkara ini dan kita menghargainya,” katanya ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali dan ADUN Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, di sini, hari ini.
Hajiji turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan persekutuan, khususnya Perdana Menteri kerana memahami keperluan Sabah dan kepentingan rakyat di wilayah timur Malaysia.
“Dengan pengumuman itu kita amat senang hati kerana ini memudahkan pesakit jantung kita, tidak perlu lagi dihantar ke Kuala Lumpur tetapi hanya di Kota Kinabalu saja,” katanya.
Pada sambutan Aidilfitri Madani peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antaravangsa Sabah (SICC) semalam, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM80 juta untuk menaik taraf Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE2) menjadi hospital pakar jantung.
Hospital itu akan dijenamakan semula sebagai Pusat Jantung Negara Sabah, sama seperti Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur bagi memenuhi keperluan rawatan jantung di negeri ini.
Katanya, kerja awal untuk menaik taraf HQE2 sebagai Pusat Jantung Negara Sabah yang membabitkan kerja menaik taraf ruang sedia ada dan infrastruktur akan bermula pada tahun ini. – Info X