Search

Warga emas melecur dalam kebakaran di Kampung Hungab

April 25, 2024

Info X Reporters

PENAMPANG: Seorang lelaki warga emas melecur belakang badan ketika cuba menyelamatkan barang milik selepas rumahnya terbakar di Jalan Hiko, Kampung Hungab, di sini, malam tadi.

Mangsa berusia 65 tahun dipercayai disambar api namun tidak parah dan dihantar ke hospital oleh ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Penampang, Penolong Penguasa Bomba, Zeno Tinggalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.47 malam.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai dikerahkan ke lokasi kejadian sejauh kira-kira dua kilometer dari balai bomba menggunakan dua jentera.

“Kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis separuh kekal dua tingkat terbakar sepenuhnya.

“Turut terbakar dua kereta jenis Perodua Rusa dan Kancil,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Pasukan bomba memadam kebakaran rumah di Jalan Hiko, Kampung Hungab, Penampang.

Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran dua pancutan.

“Operasi terkawal jam 11.34 malam dan terdapat seorang mangsa terbabit melecur di belakang badan. Mangsa dihantar ke hospital oleh ambulans KKM untuk rawatan lanjut.

“Operasi ditamatkan pada 1.05 pagi. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya. – Info X