Search

Nizam akui isu PATI sudah lama

April 25, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Isu pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah sudah berlarutan sejak sekian lama, bukan bermula ketika pentadbiran kerajaan Parti Warisan (WARISAN).

Ia diakui Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan sebagai penjelasan terhadap tuduhan yang mengaitkan WARISAN dengan masalah PATI di negeri ini.

“Saya tidak pernah menuduh PATI datang ke Sabah sejak zaman WARISAN, tidak. Isu ini berlaku sejak lama dahulu lagi.

“Saya juga Suluk dan Suluk berasal dari sana (selatan Filipina) tapi saya juga anak jati Sabah dan cintakan negara ini,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN-Senallang) yang bertanya sejak bila PATI datang ke Sabah.

Presiden WARISAN itu turut meminta penjelasan sama ada masalah itu bermula ketika pentadbiran WARISAN seperti didakwa segelintir pihak dan mendakwa beliau turut difitnah sebagai PATI.

Sementara itu, menjawab soalan asal Datuk Ewon Benedick (PH – Kadamaian) mengenai status semasa pendataan digital pendatang asing di Sabah, Nizam berkata program yang dimulakan pada 2022 masih lagi dilaksanakan.

Katanya, sebagai permulaan Program Outreach Aktiviti Pendataan Digital itu tertumpu kepada sektor perladangan dan pembinaan yang mempunyai bilangan warga asing tertinggi dan permintaan tenaga kerja aktif dalam kategori 3D (Dirty, Difficult and Dangerous).

“Sejak bermulanya program Outreach Aktiviti Pendataan Digital pada 12 September 2022 sehingga kini, sebanyak lima syarikat perladangan menyertai dan terlibat sepenuhnya.

“Syarikat terbabit ialah Kumpulan Sawit Kinabalu, Sabah Softwood Berhad, Benta Wawasan Sdn Bhd, FGV Plantations dan Cepat Wawasan Group Berhad.

“Warga asing didaftar dan didatakan secara digital melibatkan pengambilan maklumat peribadi, pengesanan wajah dan biometrik dengan menggunakan Sistem Pengurusan Bersepadu Pekerja Asing dan Bukan Pemastautin Negeri Sabah (SWIMS),” katanya.

Beliau berkata, pendataan golongan warga asing itu dibuat berdasarkan matriks pendataan berpandukan Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Setakat ini, katanya jumlah warga asing yang direkodkan dalam sistem SWIMS dan diperakukan oleh majikan adalah seramai 39,276 orang, merangkumi 21,994 orang pekerja dan 17,282 orang tanggungan. – Info X