Search

LPPB teruskan cadangan projek komersial di pekan Melalap

April 25, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah meneruskan cadangan untuk membangunkan projek komersial di tanah miliknya di Pekan Melalap, Tenom.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Isnin Aliasneh, berkata LPPB sudah membuat pengiklanan melalui laman sesawangnya dan menjemput beberapa syarikat pemaju untuk membangunkan tanah berkenaan.

Bagaimanapun, katanya setakat ini belum ada syarikat yang berminat untuk menjalin usahasama bagi membangunkan tanah tanah terbabit dengan projek komersial.

“Ketika kerajaan terdahulu, pihak LPPB telah menerima cadangan pembangunan untuk lot-lot kedai secara usahasama daripada sebuah syarikat.

“Bagaimanapun, perundingan itu tidak diteruskan oleh syarikat berkenaan,” katanya pada Persidangan DUN Sabah, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Peter Anthony (KDM-Melalap) mengenai pembinaan kedai dan tapak tamu di pekan Melalap.

Isnin berkata pihak kementerian juga mengalu-alukan sebarang cadangan daripada Peter sekiranya ada berkaitan pembangunan atau rakan usahasama yang difikirkan sesuai untuk membangunkan tanah LPPB itu.

Katanya cadangan itu boleh dikemukakan kepada Kementerian atau terus kepada pihak LPPB untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Peter sama ada kerajaan komited atau tidak untuk melaksanakan pembangunan projek itu di pekan Melalap, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam, berkata kerajaan memang serius tetapi bergantung kepada peruntukan dan pelan yang sudah diluluskan. – Info X