Search

Rumah Mesra SMJ tidak boleh dibina di atas air

April 25, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) tidak dibenarkan dibina di atas air, selain di tebing sungai dan pantai seperti ditetapkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah.

Pembantu Menterinya, Datuk Samad Jambri, berkata, larangan itu mengambil kira risiko keselamatan nyawa khususnya kepada penerima bantuan Rumah Mesra SMJ.

“KPLB Sabah masih kekal dengan ketetapan asal bahawa tiada kebenaran bagi pembinaan Rumah SMJ di atas air, tebing sungai dan pantai.

“Ini kerana ia mempunyai risiko keselamatan nyawa kepada penerima bantuan Rumah Mesra SMJ serta kos pembinaan melebihi kos siling yang diperuntukkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk George Hiew Vun Zin (GRS – Karamunting) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.

Vun Zin bertanya sama ada KPLB Sabah bercadang untuk melonggarkan syarat permohonan Rumah Mesra SMJ dengan mempertimbangkan permohonan penduduk yang memiliki tanah di tepi pantai untuk kelulusan Rumah SMJ.

Sebanyak 1,445 Rumah Mesra SMJ disiapkan setakat semalam di 73 kawasan DUN seperti dijelaskan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim ketika menggulung perbahasan kementeriannya, semalam. – Info X