KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menerima kunjungan hormat Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud yang dalam rangka lawatan kerja ke Sabah hari ini.
Pertemuan dua pemimpin itu berlangsung di kediaman rasmi Ketua Menteri, di Sri Gaya, di sini.
Mohd Nassuruddin berada di Sabah pada Khamis dan Jumaat kerana menghadiri majlis rasmi di Kota Kinabalu.
Ia adalah kunjungan rasmi pertama beliau ke Sabah selepas dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan yang ke-19 pada 15 Ogos 2023.
Turut hadir ialah isteri Mohd Nassuruddin, Datin Wan Nor Hanita Wan Yaacub; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan, Ustaz Asri Mat Daud dan timbalannya, Nik Bahrum Nik Abdullah.
Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Abdul Rahman Yunus dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Kelantan, Bahari Mohamed Nor.
Sementara itu, isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong dan isteri, Datin Seri Dr Nuinda Alias juga hadir. – Info X