KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya menumpaskan lima kes penyeludupan minuman keras dengan nilai keseluruhan lebih RM1.9 juta termasuk cukai.
Semua barangan seludup berkenaan berjaya dikesan hasil pemantauan Cawangan Import Eksport Pelabuhan Sepanggar dan Unit Operasi Penguatkuasaan Kota Kinabalu.
Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, kes pertama membabitkan rampasan sebuah kontena berisi minuman keras pada 16 April lalu.
Katanya, minuman keras yang jenama ‘Anchor’ yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM386,793 berkenaan cuba dibawa masuk melalui Pelabuhan Sepanggar.
“Seterusnya, JKDM berjaya mematahkan tiga lagi kes cubaan menyeludup masuk minuman keras membabitkan tiga kontena pada 17 April.
“Rampasan minuman keras jenama Tiger Lager Beer, Carlsberg dan Cool Beer yang dianggarkan bernilai RM1.16 juta termasuk duti dan cukai terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media yang dijalankan di Wisma Penguatkuasaan Sepanggar, di sini, hari ini.

Mohd Nasir berkata, pada 18 April lalu, pihak penguatkuasaan JKDM sekali lagi berjaya merampas sebuah kontena yang didapati berisi minuman keras jenama Cool
beer.
“Rampasan bagi kes kelima ini melibatkan nilai sebanyak RM386,793 termasuk cukai dan duti,” katanya.
Sementara itu, Mohd Nasir berkata, modus operandi yang digunakan adalah dengan membuat kenyataan palsu berhubung maklumat alamat premis penerima.
Katanya, siasatan lanjut yang dijalankan pihak JKDM mendapati, semua alamat premis penerima yang diberikan tidak wujud.
“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 52 Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135 (1) (d) akta yang sama.
“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 dan tidak lebih dari 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 mengikut mana yang lebih besar.
“Pesalah boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya,” katanya. – Info X