Search

Dua pengedar dadah ditahan di Penampang

April 25, 2024

Info X Reporters

PENAMPANG: Polis menahan dua lelaki tempatan yang dipercayai terbabit dalam kegiatan mengedar dadah di daerah ini.

Kedua-dua lelaki berusia 21 dan 37 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, pada 19 dan semalam.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, bertindak dengan maklumat risikan, tangkapan pertama dibuat jam 10 pagi, pada 19 April lalu membabitkan seorang lelaki berusia 21 tahun.

Katanya, hasil pemeriksaan fizikal terhadap suspek berjaya menemukan satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenih syabu seberat 5.42 gram yang dianggarkan bernilai RM800.

“Tangkapan kedua pula dibuat jam 4 petang semalam, terhadap seorang lelaki berusia 37 tahun yang memiliki satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenih syabu.

“Bahan larangan seberat 5.14 gram itu dianggarkan bernilai RM750 pada harga pasaran semasa.

“Semua tangkapan juga didapati positif dadah jenis methamphetamine (meth) dan amphetamine (amp) melalui hasil ujian saringan awal air kencing,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dadah jenis syabu yang dirampas selepas menahan dua lelaki disyaki pengedar dadah di Penampang. – Foto/PDRM

Sammy berkata, nilai keseluruhan rampas dadah dianggarkan berjumlah RM1,550.

“Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39 A (1) Dan Seksyen 15 (1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Masyarakat terutamanya ibu bapa diminta untuk sentiasa mengawasi anak-anak mereka supaya tidak terjebak dengan gejala penyalahgunaan dadah.

“Terus menjadi mata serta telinga polis dalam menyalurkan maklumat bagi membanteras gejala dadah,” katanya. – Info X