TAWAU: Seorang individu berjawatan pengurus besar didenda RM15,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM8,110, lima tahun lalu.
Tertuduh, Ahmad Rudi Abd Rashid, 50, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan alternatif dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Jason Juga di Mahkamah Khas Rasuah, di sini, hari ini.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa meminta bagi pihak dirinya iaitu wang tunai berjumlah RM8,110 daripada pemilik sebuah syarikat.
Perbuatan yang dilakukan tertuduh itu menyalahi Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bubul Ria, Semporna, pada jam 5.30 petang, 26 Februari 2019.
Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan fakta Kes, tertuduh yang bertugas sebagai Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Semporna, didakwa meluluskan Baucer Bayaran bernombor BB021900065 berjumlah RM8,110 kepada sebuah syarikat.
Baucer itu adalah untuk bayaran penyediaan keperluan sempena Lawatan Mesyuarat LPP/MOA/JPA seramai 30 orang pada 28 hingga 31 Oktober 2018 sedangkan kerja-kerja berkenaan dilakukan tertuduh sendiri.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Norsham Saharom, manakala tertuduh diwakili peguam Dominic Chew Ban Huat. – Info X