Search

Letusan Gunung Ruang : Operasi penerbangan di ruang udara Sabah dijangka terjejas semula

May 1, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Debu gunung berapi akibat letusan semula Gunung Ruang di Sulawesi utara, semalam dijangka mengganggu operasi penerbangan dalam Wilayah Maklumat Penerbangan (FIR) Kota Kinabalu sehingga 5 Mei ini.

Berdasarkan Amaran Cuaca Penerbangan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MET Malaysia), malam tadi, debu dari gunung berapi itu dijangka memasuki ruang udara Sabah mulai malam tadi, sekali gus boleh membahayakan operasi penerbangan.

Ketua Pengarah MET Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah, berkata debu berkenaan boleh mengganggu operasi penerbangan dalam Wilayah Maklumat Penerbangan (FIR) Kota Kinabalu.

“Berdasarkan model trajektori daripada National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA), debu gunung berapi dijangka memasuki ruang udara negara dan memberi kesan signifikan sepanjang tempoh ramalan sehingga 5 Mei ini.

“MET Malaysia bertanggungjawab melaksanakan pemantauan aktiviti pergerakan debu gunung berapi secara berterusan dan akan mengemas kini maklumat berkenaan dan mengeluarkan Amaran Cuaca Penerbangan sekiranya perlu,” katanya.

MET Malaysia turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dengan maklumat yang dikeluarkan oleh jabatan itu melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial.

Gunung Ruang di utara Sulawesi dilaporkan meletus semula pagi semalam dan memuntahkan debu yang memenuhi ruang udara sekitarnya sehingga mencapai ketinggian 63,000 kaki atau 20 kilometer.

Operasi penerbangan di wilayah berkenaan turut dihentikan berikutan amaran tertinggi yang dikeluarkan pihak berkuasa Indonesia susulan letusan terbaharu Gunung Ruang.

Letusan gunung berapi itu yang bermula sejak awal bulan ini menyebabkan 214 penerbangan di Sabah dan Sarawak terjejas pada 18 dan 19 April lalu.

Malam tadi, beberapa penerbangan ke Sabah dilaporkan dijadualkan semula berikutan kebimbangan terbaharu debu gunung berapi dari Gunung Ruang memasuki ruang udara Sabah. – Info X