KOTA KINABALU: Seorang wanita mengalami sesak nafas dalam kebakaran membabitkan tiga rumah di Jalan Teluk Sepanggar, di sini, petang tadi.
Mangsa yang berusia 44 tahun itu kemudian dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada jam 6.05 petang.
Katanya, seramai 46 pegawai dan anggota bersama lima jentera, Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Lintas dan Tuaran.
“Kebakaran membabitkan tiga rumah jenis separuh kekal terbakar 100 peratus.
“Operasi pemadaman menggunakan tiga aliran, tiga pancutan dari jentera bomba Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) manakala dua aliran, empat pancutan dari dua jentera bomba,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dalam kejadian itu, seorang wanita sesak nafas dan dihantar ke hospital oleh EMRS untuk rawatan lanjut.
“Operasi terkawal jam 7 malam ini. Punca kebakaran masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya. – Info X