Search

DBKK terima anugerah ASEAN Clean Tourist City Standards 2024-2026

April 30, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sekali lagi menerima Anugerah ASEAN Clean Tourist City Standards Peringkat Kebangsaan bagi tahun 2024-2026.

Anugerah itu disampaikan oleh Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Masliza Che Omar kepada Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK, Robert Lipon yang mewakili Datuk Bandar Kota Kinabalu, dalam satu majlis di Cyberjaya, semalam.

Standard Pelancongan ASEAN adalah piawaian negara ASEAN bagi meningkatkan mutu perkhidmatan dalam industri pelancongan serantau selaras dengan Pelan Pelancongan Strategik ASEAN 2016-2025 ke arah menjadikan ASEAN sebagai destinasi unggul di peringkat antarabangsa.

Menerusi satu kenyataan, DBKK menyifatkan kejayaan merangkul anugerah itu adalah hasil pematuhan kriteria penilaian ASEAN Clean Tourist City Standard.

Robert mewakili Datuk Bandar Kota Kinabalu menerima Anugerah ASEAN Clean Tourist City Standards 2024-2026 daripada MOTAC di Cyberjaya.

Katanya, ia adalah piawaian dan panduan utama kepada semua negara ASEAN dalam menyediakan penyampaian perkhidmatan pelancongan yang berkualiti dan berprestasi tinggi.

Sesi penilaian dijalankan pada Ogos 2023 oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Ia adalah pencapaian ketiga DBKK setelah berjaya merangkul anugerah yang sama pada 2018-2020 dan 2020-2022.

Sijil Anugerah ASEAN Clean Tourist City Standards 2024-2026 diserahkan kepada Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah.

Penyerahan Sijil Anugerah ASEAN Clean Tourist City Standards Peringkat Kebangsaan Bagi Tahun 2024-2026 telah disempurnakan hari ini (30 April) kepada Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah.

“Tahniah diucapkan kepada seluruh warga kerja DBKK atas pengiktirafan ini,” katanya. – Info X