Search

APMM patahkan cubaan warga asing masuk secara haram di perairan Kudat

April 30, 2024

Info X Reporters

KUDAT: Cubaan 35 individu termasuk kanak-kanak disyaki warga Filipina memasuki Malaysia secara haram gagal apabila dua bot pancing dinaiki mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sekitar perairan daerah ini, semalam.

Kedua-dua bot pancing ditahan oleh dua bot ronda dari Zon Maritim Kudat yang sedang melakukan rondaan Op Tiris, Op Pluto Timur Op Khas Pagar Laut.

Pengarah APMM Zon Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, hasil maklumat perisikan yang diperolehi dan bantuan pengesanan oleh Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah, mengesan dua bot pancing dalam keadaan mencurigakan di sekitar perairan Kudat.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot membawa seramai 43 individu termasuk wanita dan kanak-kanak berusia lingkungan dua hingga 55 tahun.

“Daripada jumlah itu, seramai 35 individu disyaki warga Filipina yang mempunyai dokumen pengenalan diri meragukan manakala lapan lagi warga tempatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Anggota APMM melakukan pemeriksaan ke atas bot pancing yang membawa individu disyaki warga Filipina di perairan Kudat.

Menurutnya, bot pertama ditahan di kedudukan 7.6 batu nautika (bn) manakala bot kedua ditahan di kedudukan 6.6 bn, dari Pulau Kalutan, Balambangan.

“Kedua-dua bot berkenaan disyaki bergerak dari Pulau Tawi-Tawi menuju ke Kota Kinabalu.

“Kes disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002,” katanya. – Info X