Search

Aduan masalah air di Parlimen Sepanggar berkurangan – Mustapha

May 4, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Gangguan bekalan air di sekitar Parlimen Sepanggar, termasuk di Universiti Malaysia Sabah (UMS) semakin pulih berikutan usaha berterusan yang dilaksanakan kerajaan negeri bagi mengatasi masalah itu.

Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud, berkata situasi itu berdasarkan penurunan aduan yang diterima pihaknya berkaitan masalah air daripada penduduk.

Katanya, hanya kawasan tertentu, khususnya yang berada di hujung sistem paip dikenal pasti belum berapa pulih dan masih berdepan gangguan setakat ini.

“Masalah air semakin baik, aduanpun berkurangan walaupun masih ada lagi beberapa tempat ‘hot spot’ berdepan masalah tetapi secara keseluruhannya gangguan air berkurangan.

“Penyelesaian masalah ini sebenarnya bergantung kepada usaha Jabatan Air Negeri Sabah (JANS). Jika ada aduan, kita akan hantar terus kepada pihak JANS dan setakat ini alhamdulillah respon amat baik,” katanya pada sidang media di Tanjung Seafood, Tanjung Aru, di sini, malam tadi.

Katanya, kawasan ‘hot spot’ masalah air kebanyakannya di sekitar Kingfisher di Likas, termasuk UMS.

Sementara itu, mengenai usaha menangani masalah air di kampus UMS, di sini, Mustapha yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, berkata enam telaga tiub yang dibina menggunakan peruntukan RM3 juta diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini sudah berfungsi membekal air ke kolej kediaman.

Katanya, hanya ada sedikit kerja perpaipan ke kolej kediaman pelajar yang perlu disiapkan bagi membolehkan kemudahan bekalan air alternatif itu berfungsi sepenuhnya.

Bagaimanapun, katanya penyiapan projek yang dimulakan pada Januari lalu itu bukan penyelesaian muktamad terhadap masalah air di kampus universiti itu.

“Telaga tiub itu hanya menampung sebahagian kecil keperluan air di UMS, ia hanya alternatif saja, bukan untuk menyelesaikan. Ini kita kena faham kerana kita bergantung juga kepada air yang disalurkan dari JANS.

“UMS memerlukan lima juta liter sehari (JLS) untuk kira-kira 20,000 pengguna di kampus berkenaan, tapi telaga tiub yang kita buat ini hanya mampu membekal kira-kira satu JLS. Jadi, ia memerlukan empat JLS lagi,” katanya.

Selain peruntukan RM3 juta daripada Perdana Menteri, katanya Kementerian Pendidikan Tinggi menambah lagi RM2 juta bagi menangani masalah air di UMS demi kebajikan pelajar.

Namun, katanya setakat ini keresahan pelajar berhubung masalah air berkurangan sejak beroperasinya telaga tiub baharu di kampus UMS, ditambah usaha dilaksanakan kerajaan negeri mempercepatkan usaha menyelesaikan masalah pembekalan air dari loji rawatan air (LRA) di Tuaran.

Baru-baru ini, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir turut meninjau perkembangan bekalan air melalui telaga tiub yang dibina di kampus UMS. – Info X