Search

Jabatan Perhutanan perlu tingkatkan kutipan hasil hutan – Hajiji

May 4, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) perlu berusaha meningkatkan kutipan hasil hutan untuk mencapai sasaran RM165 juta yang ditetapkan pada tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata sasaran itu meliputi anggaran pengeluaran hasil hutan sebanyak 920,000 meter padu dari kawasan hutan simpan, tanah kerajaan dan tanah bergeran dengan jangkaan lebihan hasil sebanyak RM10 juta berbanding kutipan pada 2023.

Menurutnya, setakat Mac 2024, JPS berjaya mengutip RM39.7 juta atau 24 peratus daripada sasaran berkenaan.

“Sekiranya momentum ini berterusan, saya yakin Jabatan Perhutanan bukan saja dapat mencapai sasaran kutipan hasil itu, malah mungkin lebih daripada itu.

“Saya berharap semua warga kerja JPS bekerja keras untuk memastikan usaha ini tercapai,” katanya pada Majlis Apresiasi Perhutanan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Jumaat.

Teks ucapannya dibacakan Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.

Hajiji juga mahu jabatan itu menerokai lebih banyak peluang penjanaan hasil melalui hutan termasuk aktiviti rekreasi berasaskan hutan, pembayaran perkhidmatan ekosistem hutan dan perdagangan karbon melalui pelaksanaan Reducing Emissions from Deforestation and Forest Degradation Plus (REDD+), bekalan tenaga hijau dan pengkomersialan hasil penyelidikan.

Katanya, walaupun tahun lalu JPS berjaya mengutip RM1.647 juta hasil daripada Rekreasi Hutan iaitu lebih kurang dua peratus daripada keseluruhan kutipan hasil hutan, namun impaknya sangat besar kepada usaha konservasi negeri.

Menurutnya, usaha murni untuk memperkasakan aktiviti rekreasi hutan bukan saja membantu konservasi negeri, malah memberikan pilihan rekreasi kepada masyarakat umum yang mahukan kepelbagaian kawasan untuk dilawati di Sabah.

Hajiji berkata, sejajar dengan komitmen untuk memperkasakan tatakelola pengurusan hutan secara berkekalan, JPS menyasarkan supaya semua kawasan pengurusan hutan dipersijilkan di bawah mana-mana skim pensijilan yang diterima di peringkat antarabangsa menjelang 2025.

“Setakat ini, seluas 280,616 hektar kawasan pengurusan hutan telah menerima pensijilan,” katanya.

Ketua Menteri berkata, dalam menghadapi regulasi perdagangan komoditi yang baharu diperkenalkan oleh Kesatuan Eropah (EU) pada 2022, jerajaan melalui JPS akan memperkasakan dan menyemak semula standard Sabah Timber Legality Assurance System (Sabah TLAS) sebagai ‘due diligence system’ yang seiring dengan keperluan European Union Deforestation Regulation (EUDR).

Beliau berkata, proses pensijilan hutan serta pelaksanaan Sabah TLAS akan dapat menepis tohmahan sesetengah pihak yang mempersoalkan ketelusan dan akauntabiliti tatakelola sumber hutan negeri.

Dalam pada itu, katanya seiring dengan aspirasi pendigitalan perkhidmatan awam, JPS telah mewujudkan Pangkalan Data dan Teknologi Geospatial Sumber Hutan Sabah melalui projek pembangunan biayaan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah di bawah RMK-12.

“Sistem pangkalan data tersebut telah dibangunkan pada 2023 untuk menyokong pengurusan sumber hutan yang lebih cekap dan berkesan.

“Selain itu, satu aplikasi permohonan pembayaran royalti balak bulat secara atas talian – Sistem Pemeriksaan dan Pentaksiran Royalti Balak Bulat (SPPR) juga telah dibangunkan di JPS, bertujuan untuk memudah cara sistem bayaran royalti kepada kerajaan, di samping memudahkan proses kutipan hasil kepada jerajaan,” katanya. – Info X