Search

Dadah syabu, pil ecstasy RM177,120 dalam bungkusan teh Cina

May 4, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Menggunakan bungkusan teh Cina untuk membungkus dadah sebelum dihantar kepada pelanggan menggunakan laluan laut.

Itulah modus operandi seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun yang ditahan bersama lima kilogram dadah jenis syabu dan 1001 biji pil ecstasy bernilai RM177,120.60, jam 2.36 petang, di Jati CIQ Lama, di sini, Selasa lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, kejayaan rampasan itu dilakukan menerusi Operasi Dragon VI yang dilaksanakan bermula 19 April hingga 19 September depan.

Katanya, pasukan operasi yang menjalankan pemeriksaan barang di kawasan berkenaan mengesan seorang lelaki membawa sebuah kotak coklat dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan ke atas kotak coklat itu menemukan lima paket teh cina disyaki mengandungi dadah jenis syabu dan lima bungkusan plastik kecil mengandungi pil ecstasy berwarna merah jambu.

“Suspek terbabit terus ditahan dan dibawa ke Pejabat Cawangan Penguatkuasaan JKDM Tawau bersama semua dadah berkenaan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Mohd Nasir (tengah) menunjukkan dadah syabu dan pil ecstasy yang dirampas.

Menurutnya, modus operandi suspek adalah membawa bahan terlarang disyaki dadah yang dibungkus menggunakan teh Cina berjenama Alishan Jia Xuan Tea.

“Suspek juga dipercayai cuba membawa keluar semua dadah berkenaan dari daerah Tawau dengan menggunakan laluan laut ke Pulau Sebatik.

“Suspek terbabit juga ditahan reman selama 14 hari bermula dari tarikh tangkapan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Pil ecstasy dan syabu yang dirampas di Jati CIQ Lama, Tawau.

Dalam pada itu, Mohd Nasir menggesa orang ramai supaya dapat membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan boleh disalurkan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri,” katanya. – Info X