Search

PKR Sabah masih tunggu keputusan PM – Mustapha

May 4, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: PKR Sabah masih menunggu keputusan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai penyelesaian kemelut kepemimpinan PKR negeri yang berlaku sejak Mac lalu.

Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud, berkata penyelesaian isu berkenaan terletak sepenuhnya di tangan Anwar selaku Presiden PKR itu.

“Kita tunggu saja keputusan yang dibuat presiden, beliau memang menjanjikan perkara itu dan ahli PKR, khususnya di Sabah diharap agar dapat bersabar.

“Keputusan akan dibuat bersama beberapa lagi negeri lain yang akan bertukar pengerusi. Presiden juga sedang melawat beberapa negeri lagi jadi kita tunggu saja,” katanya pada sidang media di Tanjung Seafood, Tanjung Aru, di sini, malam tadi.

Ketua Cabang PKR Kota Belud itu berkata demikian ketika ditanya perkembangan isu PKR Sabah selepas pertemuan semua Ketua Cabang dari Sabah dengan Anwar, di sini, pada 20 April lalu.

Kemelut PKR Sabah berlaku selepas 15 Ketua Cabang diketuai Ketua Cabang Kota Marudu, Sazalye Donol Abdullah pada awal bulan lalu mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Pengerusi MPN sekarang, Datuk Dr Sangkar Rasam dan meminta beliau mengundurkan diri.

Mustapha kemudian disebut antara nama yang disokong untuk mengambil alih jawatan itu jika Anwar membuat keputusan untuk menukar Pengerusi MPN sekarang.

Sementara itu, Mustapha yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, berkata perkara itu diserahkan kepada kepemimpinan tertinggi PKR dan beliau akur terhadap apa saja keputusan Perdana Menteri.

Namun, katanya beliau berharap namanya tersenarai antara berbelas nama yang sebelum ini disebut Anwar dipertimbangkan mengetuai PKR Sabah jika nama Sangkar digugurkan. – Info X