TAWAU: Tindakan seorang lelaki disyaki mencuri barang berharga milik seorang jemaah ketika menunaikan solat Jumaat, di Bombalai, di sini, Jumaat lalu berjaya diberkas, semalam.
Suspek warga asing berusia lingkungan 20 tahun ditahan sepasukan anggota Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Bombalai, kurang 24 jam selepas melakukan jenayah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner, Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima satu laporan polis yang dibuat mangsa pada jam 12.40 tengahari, Jumaat lalu.
Katanya, kenderaan milik mangsa dimasuki oleh orang yang tidak dikenali.
“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan, mangsa mendapati telefon bimbit berjenama yang disimpan di dalam kenderaan berserta wang tunai hilang disyaki dicuri dan anggaran kerugian mangsa bernilai RM1,000.
“Bertindak atas laporan itu, ketika menjalankan rondaan di kawasan Kampung Melati, Burut anggota RCJ terlihat seorang suspek yang mencurigakan, jam 9.05 malam.
“Ketika polis menghampirinya, suspek bertindak melarikan diri dan berjaya diberkas selepas berlaku pergelutan antara polis dan suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan tubuh badan suspek, polis menemukan sebuah telefon bimbit berjenama serta wang tunai di dalam poket seluar yang dipakai suspek.
“Polis turut merampas pakaian yang digunakan ketika kejadian berserta telefon bimbit dan barang yang disyaki dicuri.
“Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun keseksaan,” katanya.
Sementara itu, Jasmin menasihati kepada seluruh masyarakat supaya memastikan barang berharga seperti beg tangan, komputer riba dan telefon bimbit mahupun wang tunai atau barang yang lebih berharga agar tidak ditinggalkan dalam kereta kerana tindakan itu mengundang penjenayah melakukan jenayah curi. – Info X